PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN

BERIKUT ADALAH TAJUK-TAJUK  RnD PENSYARAH JSM :

1. MODEL PAIKEM:MENINGKATKAN KOMPETENSI MENGHASILKAN INTERVENSI BERKESAN DALAM KAJIAN TINDAKAN MATEMATIK BAGI PELAJAR PISMP SEMESTER TUJUH AMBILAN JUN 2013
Haslina binti Japri
Jabatan Matematik
haslina@ipda.edu.my

ABSTRAK
Kajian tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan kompetensi menghasilkan intervensi berkesan dalam kajian tindakan matematik bagi pelajar PISMP Semester Tujuh Ambilan Jun 2013 dengan menggunakan Model PAIKEM. Reka bentuk kajian ini adalah berasaskan model Kemmis dan McTaggart (1988). Kumpulan sasaran adalah terdiri daripada sembilan orang pelajar PISMP Semester Tujuh pengkhususan Matematik yang menjalani praktikum fasa tiga. Kaedah pengumpulan data adalah soal selidik penilaian intervensi dan analisis dokumen (borang Penilaian Pensyarah). Kaedah menyemak data adalah menerusi triangulasi kaedah dan triangulasi responden. Dapatan kajian ini telah membuktikan bahawa penggunaan Model PAIKEM dapat meningkatkan kompetensi menghasilkan intervensi berkesan dalam kajian tindakan matematik dalam kalangan pelajar PISMP Semester Tujuh. Model PAIKEM boleh diperluaskan untuk pengajaran kursus-kursus pedagogi yang lain dan penyelidikan tindakan pengkhususan lain.  

2. PENGGUNAAN ‘NORMAL KALKULATOR’ UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH BERKAITAN TABURAN NORMAL DALAM SUBJEK STATISTIK ASAS (GSA1072)
Dzulfazli bin Othman
Jabatan Matematik
dzulfazli@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Kursus Statistik Asas (GSA1072) merupakan komponen wajib yang perlu diambil oleh setiap pelajar pada semester dua PPISMP di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Jam pembelajaran bersemuka bagi kursus ini telah ditetapkan sebanyak 30 jam, di mana para pelajar perlu mempelajari perkara-perkara asas dalam statistik yang merangkumi lima topik. Antara kandungan kursus ini ialah Taburan Normal yang menjadi fokus utama dalam kajian tindakan ini. Penggunaan Jadual Taburan Normal Piawai merupakan kaedah yang biasa digunakan untuk mencari luas di bawah lengkuk taburan normal. Walaubagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, kaedah penyelesaian masalah menjadi semakin mudah dengan bantuan teknologi. Akses yang mudah kepada gajet-gajet seperti telefon pintar perlu dimanipulasi sebaik mungkin agar ia mampu memberi impak yang positif. Salah satu aplikasi yang boleh dimuatkan kedalam telefon pintar ialah ‘Normal Kalkulator’ yang dilihat amat praktikal dalam menyelesaikan masalah berkaitan taburan normal. Kajian tindakan ini dijalankan menggunakan Model yang dibangunkan oleh Kemmis (1988), bertujuan untuk melihat adakah penggunaan alat bantu ini boleh membantu menambahbaik kuailiti PdP. Seramai 16 orang pelajar PPISMP terlibat dalam kajian ini di mana berdasarkan tinjauan awal, semua pelajar-pelajar ini memiliki telefon pintar. 

3. PERISIAN MASKOM DAPAT MENINGKATKAN PRESTASI TAJUK PECAHAN BAGI MATAPELAJARAN MATEMATIK TINGKATAN SATU
Azmi Bin Mat Safar
Jabatan Matematik
azmi@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Kajian tindakan ini terdiri dari dua bahagian iaitu penyelidik membina prototaip perisian multimedia dalam bahan pengajaran berbantukan komputer bagi matapelajaran Matematik tingkatan satu untuk tajuk pecahan dan seterusnya penyelidik menjalankan kajian menggunakan perisian tersebut untuk menentukan samada perisian tersebut sesuai digunakan bagi pelajar-pelajar dan guru-guru. Kajian ini mendapati bahawa perisian ini sesuai digunakan untuk pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan satu bagi matapelajaran Matematik bagi tajuk pecahan. Kajian ini juga menunjukkan bahawa prototaip perisian model MASKOM ini dapat membantu guru-guru sebagai bahan sokongan semasa pengajaran mata pelajaran Matematik untuk pelajar-pelajar tingkatan bagi tajuk pecahan. 

4.  MENINGKATKAN KEMAHIRAN MELOREK RANTAU YANG MEMUASKAN KETAKSAMAAN DENGAN KAEDAH LATIH-TUBI DALAM KALANGAN PELAJAR PPISMP PENDIDIKAN KHAS 3 SEMESTER 1 
Khairulanwar bin Ahmad
Jabatan Matematik
khairul@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk mencari penyelesaian kepada masalah pelajaryang kurang mahir melorek rantau yang memuaskan sesuatuketaksamaan. Seramai 18 orang pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(PPISMP) Pendidikan Khas 3 terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui temu bual bersama pelajar, Ujian1 dan ujian pra. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar kurang mahir melukis garis dan melorek rantau yang memuaskan ketaksamaan. Oleh itu, perancangan tindakan difokuskan kepada kaedah untuk meningkatkan kemahiran secara latih-tubi. Kajian ini telah dapat diselesaikan dalam tempoh satu minggu. 

5. ELEMEN PATRIOTISME DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK PRAKTIKUM FASA 2 PISMP MATEMATIK PENDIDIKAN RENDAH AMBILAN JUN 2013 
Hishamuddin Bin Jaafar
Jabatan Matematik
hishamuddin@ipda.edu.my

ABSTRAK
Kertas kajian ini membincang kesedaran tentang elemen patriotisme di kalangan pelajar PISMP Matematik Pendidikan Rendah Semester 6 Ambilan Jun 2013 Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman dalam PdP Matematik KSSR semasa menjalani Praktikum Fasa 2. Seramai sembilan pelajar daripada Jabatan Matematik dipilih sebagai peserta kajian melibatkan empat buah sekolah terdiri daripada dua buah sekolah kebangsaan dan dua buah sekolah jenis kebangsaan cina serta dua puluh empat kelas. Tiada model khusus digunakan untuk melaksana kajian ini. Data dikumpul melalui temubual dengan peserta kajian, pemantauan praktikum, perbincangan serta penyeliaan dan analisis dokumen terhadap Buku Rekod Mengajar. Hasil kajian dibentang dengan ulasan dalam bentuk Jadual dan Rajah serta perincian terhadap langkah perancangan. Dapatan kajian menunjukkan peserta kajian dapat menerap elemen patriotisme dalam PdP Matematik di dalam kelas masing-masing dan secara langsung. 

6.  “JAPONE” DAPAT MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENYELESAIKAN KETAKSAMAAN DALAM KALANGAN PELAJAR PPISMP SEMESTER 1 DI IPG KAMPUS DARULAMAN 
Mohd.Rodzi bin Abdullah
Jabatan Matematik
mohdrodzi@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Kursus Matematik Asas (MTZ1024) adalah merupakan salah satu kursus Bidang Tumpuan Khas yang ditawarkan dan wajib kepada semua pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi pengkhususan Pendidikan Pemulihan, Pendidikan Khas dan Bimbingan Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Mengikut Ringkasan Maklumat Kursus (RMK), kursus ini mengandungi 4 tajuk utama iaitu (1) Nombor, (2) Algoritma, (3) Ubahan dan (4) Persamaan dan ketaksamaan linear dan kuadratik. Dalam topik (4), terdapat subtopik Penyelesaian ketaksamaan linear dan kuadratik “ yang menjadi fokus dalam kajian ini. Kaedah JAPONE digunakan sebagai kaedah untuk membantu 4 pelajar dalam kelas PPISMP-Pendidikan Khas 2 Ambilan Jun 2016. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Kaedah JAPONE dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan ketaksamaan linear, ketaksamaan kuadratik dan gabungan ketaksamaan linear dan kuadaratik. 

7. PENGGUNAAN “POWERPOINT PRESENTATION”: MENINGKATKAN TAHAP PENGLIBATAN DAN KEFAHAMAN BAGI SUBJEK MTES3052 (SENI DALAM PENDIDIKAN) DALAM KALANGAN PELAJAR PISMP SEMESTER 2 
Mohamed Azli binAbu Samah
Jabatan Matematik
azli@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini bertujuan untuk menilai adakah penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) khususnya penggunaan perisian “PowerPoint presentation” dapat meningkatkan kefahaman dan tahap penglibatan pelajar di dalam perbincangan semasa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Subjek yang dimaksudkan ialah MTES3052 (Seni dalamPendidikan), satu subjek yang baharu diperkenalkan kepada pelajar major Matematik. Kajian ini dijalankan kerana terdapat beberapa pelajar yang agak pasif dan kurang melibatkan diri di dalam perbincangan semasa PdP. Kelihatannya mereka hanya datang ke kelas kerana terpaksa memenuhi keperluan IPGM. Tidak dapat dipastikan apakah alasan atau sebab kepada sikap pasif in. Data dikumpulkan melalui pemerhatian dan temu bual. Hasil kajian dan intervensi yang dijalankan, terdapat perubahan tingkah laku yang agak baik dan suasana perbincangan semasa PdP agak lebih meriah dan aktif. Dapatan kajian ini menunjukkan penggunaan perisian TMK semasa kuliah dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan kefahaman pelajar. 

8. PENGGUNAAN YOU-TUBE BAGI MENGHASILKAN KAD POP-UP DALAM KALANGAN PELAJAR PISMP SEMESTER 2 AMBILAN JUN 2015 
Ton Pah Chah Sareh Mohd Isa
Jabatan Matematik 
tonpah@ipda.edu.my 

ABSTRAK
Tujuan kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan penggunaan you-tube dalam menghasilkan kad pop-up. Kad pop up ialah kad tiga dimensi apabila ia di buka. Pop-up merupakan salah satu bidang kreatif dari paper engineering. Kebiasaan kad adalah dalam bentuk dua dimensi sahaja. Kajian ini dilaksanakan dikalangan pelajar semester 2 PISMP Matematik ambilan jun 2015. Bagi menghasilkan kad pop-up, kemahiran kejuruteraan kertas diperlukan. Teknik lipatan kertas perlu dimahirkan terlebih dahulu sebelum kad pop-up ini dihasilkan. Masa yang diperuntukan dalam dalam kelas hanya tiga jam seminggu. Masa yang pendek ini hanya dapat memberi pengetahuan sahaja sedangkan penghasilan kad ini selain dari pengetahuan ia juga memerlukan kemahiran kerja halus. Saya tidak menghasilkan video sendiri tetapi saya memilih video-video yang bersesuaian dalam membantu penghasilan kad pop-up ini. Hasil kajian mendapati penggunaan you-tube ini sangat membantu pelajar untuk menghasilkannya. Pelbagai tema dan jenis kad pop-up dapat dihasilkan. pelajar juga boleh memberi penerangan dengan jelas semasa menjawap kertas peperiksaan berkaitan proses menghasilkan kad pop-up ini. Pelajar di abad ke-21 ini sangat mahir dengan penggunaan ICT, jadi saya rasa sekiranya peluang diberi kepada pelajar untuk memilih video sendiri mungkin akan bertambah kepelbagaian tema. 

9.  Meningkatkan Penglibatan Pelajar Dalam Kelas Menggunakan ICT kaedah Powerpoint ”MyFace” Dalam Kalangan Pelajar PISMP Semester 3 
Hajah Natrah bt. Shaari
Jabatan Matematik
Natrah@ipda.edu.my  

ABSTRAK
Kajian ini saya laksanakan adalah kerana kesedaran diri sendiri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah mengekalkan penglibatan aktif pelajar dalam masa pengajaran dan pembelajaran. Ramai murid kurang berminat melibatkan diri kerana kebanyakan mereka merasakan bahawa sudah ada pelajar lain yang lebih aktif dan pandai untuk menjawab soalan dan berdiskusi. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui pemerhatian, temubual dan analisis cara menjawab soalan. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar lebih suka mendengar dan melihat serta mencatat. Bagi mengatasi masalah yang dihadapi, saya telah memperkenalkan satu cara pengajaran menggunakan ICT iaitu MyFace. Seramai 18 orang pelajar PISMP Matematik Semester 3 terlibat dalam kajian ini. Aktiviti ini dilaksanakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang diperuntukkan masa selama 2 jam setiap sesi. 

10.  MEMANTAPKAN PENGAJARAN KONSEP LUAS DAN PERIMETER DALAM KALANGAN PELAJAR PISMP AMBILAN JUN 2013 GSTT MELALUI KAEDAH MATHEMATICS PEDAGOGICAL CONTENT KNOWLEDGE-IN-ACTION (MPCK-IN-ACTION)  
Ong Hooi Peng
Jabatan Matematik
ong@ipda.edu.my

ABSTRAK
Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk memantapkan pengajaran konsep luas dan perimeter melalui kaedah mathematics pedagogical content knowledge-in-action(MPCK-in-action). Kaedah ini dilaksanakan dalam lima sesi interaksi yang memfokuskan konstruktivisme dan inkuiri penemuan. Peserta kajian terdiri daripada sembilan orang pelajar opsyen matematik yang mengikuti program PISMP Ambilan Jun 2013 (GSTT). Peserta kajian ini dipilih sebab mereka mempunyai pengalaman mengajar dan pernah berkhidmat sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT). Kini mereka sedang mengikuti kursus pedagogi MTE3113 (Mengajar Geometri, Sukatandan Pengendalian Data) dan topik luas dan perimeter merupakan salah satu topik yang tersenarai dalam Ringkasan Maklumat Kursus (RMK). Pada peringkat awal, peserta kajian telah diminta menghuraikan dengan perkataan sendiri semua aspek termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkaitan dengan luas dan perimeter. Data dikumpul melalui pemerhatian semasa interaksi kuliah, pengajaran mikro dan analisis dokumen berkaitan dengan pengalaman mengajar. Analisis dokumen menunjukkan tahap penguasaan peserta kajian hanya pada aspek algoritma sahaja. Data-data ini dianalisis dengan membandingkan dapatan antara pradengan pasca intervensi. Dapatan daripada kesemua analisis tersebut menunjukkan bahawa penggunaan kaedah MPCK-in-action dapat memantapkan pengajaran dan pembelajaran.